OPERASI BERSEPADU PEMERIKSAAN PREMIS WARGA ASING DI PUNCAK ALAM
Jabatan Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah mengadakan satu Operasi Bersepadu yang telah dijalankan pada 8 Mei 2025 (Khamis) di sekitar kawasan Puncak Alam, Kuala Selangor bagi memeriksa premis-premis yang dikendalikan oleh warga asing. Operasi ini bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 2.00 petang dan melibatkan penyertaan seramai 49 orang pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia, KPDN Kuala Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sebanyak 12 premis telah diperiksa sepanjang operasi. Hasilnya, lima kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS, tiga notis pemberhentian operasi diberikan dan tiga sitaan inventori telah dilaksanakan. Jabatan Kesihatan MPKS turut mengeluarkan satu kompaun terhadap premis makanan yang melanggar peraturan kebersihan. Jabatan Kawalan Bangunan MPKS pula telah mengeluarkan notis kepada premis yang gagal mematuhi peraturan teknikal.
Dalam aspek pelesenan, satu lesen perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing telah dirampas manakala dua premis dikenakan sekatan pembaharuan lesen kerana dikendalikan oleh warga asing serta lesen tamat tempoh. Jabatan Imigresen Malaysia pula menahan seramai 13 pekerja warga asing bagi tujuan semakan dokumen dan status penginapan mereka. Sementara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak mengesan sebarang pelanggaran undang-undang cukai dan kastam dalam operasi tersebut.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengenal pasti beberapa pelanggaran di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan dan Akta Syarikat. Lima kompaun telah dikeluarkan kepada kepada lima Syarikat perniagaan. Manakala pihak KPDN turut mengeluarkan dua kompaun serta-merta melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Akta Timbang dan Sukat dengan jumlah kompaun RM300.
Keseluruhan operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang dan dikendalikan secara haram oleh warga asing. Operasi seperti ini bukan sahaja penting dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan, malah turut menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat. Pihak berkuasa akan terus mempergiatkan tindakan pemantauan dari semasa ke semasa demi menjaga integriti dan ketelusan dalam sektor perniagaan tempatan.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS