Color
Text

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI DESA COALFIELDS DAN HILLPARK PUNCAK ALAM

Pada 22 Mei 2025, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu melibatkan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di sekitar kawasan Desa Coalfields dan Hillpark Puncak Alam. Operasi ini dijalankan bermula jam 8.00 malam sehingga 12.00 tengah malam dan melibatkan penyertaan seramai 42 anggota penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi, antaranya Jabatan Penguatkuasa MPKS, Jabatan Pelesenan MPKS, Jabatan Kesihatan MPKS, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Secara keseluruhan, sebanyak tiga buah premis telah diperiksa dalam operasi ini. Di lokasi pertama yang terletak di Desa Coalfields, satu Notis Penutupan Premis telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007. Tindakan penyitaan turut dilaksanakan melibatkan lapan unit meja makan dan dua puluh enam unit kerusi. Jabatan Pelesenan MPKS mengambil langkah tegas dengan menarik balik lesen perniagaan premis tersebut setelah didapati dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah. Dalam masa yang sama, pihak PKD Kuala Selangor telah mengeluarkan tiga notis kesalahan berkaitan kebersihan makanan dengan jumlah kompaun sebanyak RM350.00. Pihak SSM pula mengenakan kompaun atas kesalahan tidak mempamerkan papan tanda serta nombor pendaftaran perniagaan.

Bagi lokasi kedua, yang juga terletak di Desa Coalfields, tindakan penguatkuasaan turut dijalankan dengan penyitaan tujuh unit meja makan dan dua puluh tujuh unit kerusi. Jabatan Pelesenan MPKS telah menyerahkan borang pindaan bagi permohonan tambahan tujuh unit meja. Jabatan Kesihatan MPKS pula telah mengenakan dua kompaun atas kesalahan tidak menjaga kebersihan tempat penyediaan makanan dan membuang sisa makanan ke dalam longkang awam. Dalam operasi yang sama, pihak SSM turut mengenakan kompaun terhadap pengusaha premis kerana menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran yang sah.

Sementara itu, di lokasi ketiga iaitu sebuah premis restoran di Pusat Perdagangan Hillpark, Puncak Alam, pemeriksaan mendapati premis tersebut telah menamatkan operasi dan sedang dalam proses pembersihan. Tiada pekerja warga asing ditemui dan hanya pekerja tempatan yang berada di lokasi semasa pemeriksaan dijalankan.

Operasi ini merupakan satu daripada inisiatif berterusan MPKS dalam usaha memastikan premis-premis perniagaan di bawah kawal selia pihak majlis mematuhi perundangan dan garis panduan yang ditetapkan. Khususnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap premis yang dikendalikan oleh warga asing tanpa permit atau lesen yang sah. MPKS kekal komited dalam memastikan aspek keselamatan, kebersihan, dan kesejahteraan awam terus terpelihara demi kepentingan masyarakat setempat.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS