OPERASI BERSEPADU KILANG TANPA KEBENARAN DI JALAN ABDUL AZIZ, IJOK.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menjalankan operasi bersepadu kilang tanpa kebenaran di Jalan Abdul Aziz, Ijok pada 14 Februari 2023.
Operasi diadakan ekoran maklumat yang diterima oleh orang awam dan risikan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta MPKS mendapati kilang tersebut beroperasi semula walaupun telah diambil tindakan sebelum ini pada 19 Januari 2023 yang lalu.
Semasa pemeriksaan dibuat, didapati premis tersebut semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti metal dross, buangan bateri kering, Plastic Circuit Board (PCB) serta buangan copper scrap.
Kilang tersebut diarahkan tutup serta merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini dan sitaan turut dikenakan melibatkan dua unit penjana kuasa elektrik dan satu unit forklift. Kes ini disiasat dibawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa.
Selain itu, Jabatan Kesihatan MPKS turut mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik kilang kerana membiarkan bangunan / tanah dalam keadaan kotor dan mengalirkan kumbahan pepejal atau cecair ke parit berhampiran. Pihak Air Selangor turut membantu proses pemotongan bekalan air.
Pemilik kilang tersebut turut dinasihatkan untuk berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula e-waste adalah dibawah kategori industri berat. Pihak JAS turut Dalam tindakan penyediaan kertas siasatan untuk tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Operasi ini melibatkan 45 orang anggota dan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor, Ibupejabat Polis Daerah Kuala Selangor serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
Pautan video https://vt.tiktok.com/ZS85EeNDs/