Sejarah Selangor
*Sumber: Sejarah Kuala Selangor (2002) oleh Dato' Dr Hj Yusoff Bin Hassan
Sejarah Awal
Nama Selangor bermula dari Kuala Selangor, sebuah pekan di pinggir Sungai Selangor. Timbulnya nama Selangor adalah sempena sungainya. Kuala sungai ini dinamakan Kuala Selangor. Zaman dahulu memang telah menjadi kebiasaan orang menamakan sesuatu tempat itu dari nama sungai. Sebagaimana yang diketahui mereka tinggal di tebing sungai yang menjadi alat perhubungan ketika itu.
Diagakkan nama Selangor (Kuala Selangor) ini juga telah wujud lebih awal dari Kurun Masehi 15, kerana sebelum Melaka dikalahkan oleh Portugis dalam tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluk oleh Melaka.
Dalam Sejarah Melayu menyebut zaman Paduka Seri Maharaja memerintah Singapura ada seorang Pasai bernama Tun Jana Khatib mahir Ilmu Khayal Lillah dan Tauhid mempunyai dua orang sahabat iaitu seorang pergi ke Samarlingga (Selangor) dan seorang lagi ke Bungoran sementara Tun Jana Khatib pergi ke Singapura. Mengikut catitan, Paduka Seri Maharaja memerintah dalam Kurun Masehi 14 (1301-1400 ). Jika keterangan ini benar, jelaslah bahawanama Selangor telah pun adaketika itu ada pun sebelumnya. Dalam kitab Jawa Negarakertagama yang terkarang di pertengahan Kurun Masehi 14 pula menyebut nama Klang tertakluk ke Majapahit.
Beberapa keping peta lama tersimpan di negeri Cina dan dipercayai peta itu yang menjadi panduan kepada Laksamana Cheng Ho, salah seorang ahli perlayaran Cina yang dipercayai belayar dalam tahun 1405-1433. Dalam peta tersebut ada tertulis Sungai Klang dan Selangor darat. Sejarah Melayu juga ada menyebut di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458), Tun Perak telah dijemput menjadi Penghulu di Klang.
Dalam khutub khanah Royal Asiatic Society di London terdapat senaskhah Sejarah Melayu bertulis tangan terkumpul bersama-sama buku Raffles ada menyebutkan Tuan Bendahara Johor mengahwinkan anaknya, Tuan Mahmud dengan puteri Raja Beruas (Perak) dan Tuan Mahmud diberi memerintah Selangor.
Memandangkan segala keterangan di atas, nyatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun Masehi 15. Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanya politik negeri tersebut. Kata-kata ini tidak siapa yang dapat menafikan kerana segala bukti yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya pentadbiran negeri itu masih terdapat hingga sekarang.
Sebelum Daeng Chelak, anak raja Bugis lima bersaudara dari Pulau Sebilis itu datang ke Selangor, di Kuala Selangor telah memang ada didiami oleh manusia diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari kaum Bugis yang bernama Upu Chendera Burung. Sifat seorang pemerintah yang bertimbangrasa inilah yangmempengaruhi hati penduduk asli di situ, hinggakan mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis. Faktur inilah yang menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan.
Apabila meninggalnya ketua mereka,lalu dikebumikan di atas sebuah bukit. Mengikut ceritanya bukit itu ialah Bukit Hospital yang berhampiran dengan Majlis Daerah Kuala Selangor sekarang ini (1979). Di sisi pusara Upu Chendera Burung ini terdapat sebuah kolam air tawar dan sepohon bunga Tanjung.