MPKS CIPTA REKOD BAHARU MBOR, PENANAMAN 25,223 POKOK SIANTAN
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan program Hijau Lestari 2023 yang menyasarkan penanaman 25,223 pokok siantan untuk mencipta rekod Malaysia Book of Record (MBOR) berlangsung pada 25 Februari 2023, jam 8.00 pagi di Forest Park, Bandar Hillpark Puncak Alam.
Didalam aktiviti tanam pokok yang berlangsung pada 25 Februari 2023, sebanyak 25,223 pokok siantan telah ditanam melibatkan 1,500 orang peserta selama dua jam sekaligus barjaya memecahkan rekod sebelum ini iaitu penanaman 20,200 pokok pada tahun 2014 di Langkawi.
25,223 jumlah pokok ditanam adalah simbolik daripada pemilihan tarikh cadangan pelaksanaan iaitu pada 25 Februari 2023 dan pemilihan pokok siantan (Ixora Javanica) adalah kerana pokok ini merupakan pokok rasmi MPKS bermula penubuhan majlis-majlis tempatan sejak tahun 1978.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif MPKS ke arah sebuah perbandaran yang mampan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti
daerah Kuala Selangor melalui kawasan-kawasan hijau berdasarkan Rancangan Tempatan MPKS.
Program ini juga bertujuan menyahut saranan dan arahan kerajaan negeri Selangor untuk menanam 26 juta pokok dalam tempoh 5 tahun iaitu dengan anggaran sebanyak 5.2 juta pokok setahun hasil tanaman daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan.
Aktiviti ini juga adalah sejajar dengan Visi Pelan Strategik MPKS 2021-2025 iaitu Perbandaran Lestari Masyarakat Sejahtera bertepatan dengan 17 objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Pengumuman rekod baharu tersebut telah disampaikan oleh Puan Lee Pooi Leng, Office Manager, Malaysia Book of Record dan beliau turut telah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Yang Berusaha Puan Rahilah binti Rahmat, Yang Dipertua MPKS dan telah disaksikan oleh Y.B Datuk Sri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor.