Color
Text

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI SAUJANA UTAMA

Pada 6 Februari 2025 (Khamis), Jabatan Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan satu operasi bersepadu di kawasan Saujana Utama, Sungai Buloh. Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan jumlah keseluruhan seramai 41 anggota. Operasi bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang.

Operasi ini menumpukan pemeriksaan ke atas beberapa premis perniagaan yang disyaki dijalankan oleh warga asing tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan. Empat lokasi telah disasarkan, termasuk kedai runcit dan pusat cucian kereta.

Di lokasi pertama, sebuah kedai runcit di Jalan Jati 3, Saujana Utama 2, Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengeluarkan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, notis berhenti perniagaan, dan menyita peralatan perniagaan. SSM turut mengeluarkan kompaun berkaitan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-Kaedah Kawalan Harga 1957.

Di lokasi kedua, sebuah pusat cucian kereta di alamat yang sama, Jabatan Penguatkuasa MPKS mengeluarkan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, iklan tanpa kebenaran dan notis berhenti perniagaan. Peralatan perniagaan turut disita.

Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS juga telah membuat pemeriksaan premis makanan di beberapa lokasi Jalan Jati 3, Saujana Utama 2 dan telah mengeluarkan kompaun tidak menjaga kebersihan premis makanan, kompaun tidak memakai penutup kepala, kompaun membuang sisa makanan terus ke longkang awam dan notis diwajibkan mengambil suntikan anti tifoid.

Lokasi ketiga melibatkan sebuah kedai runcit di Jalan SP 11/2, Seri Pristana. Di sini, Jabatan Penguatkuasa MPKS mengeluarkan beberapa kompaun termasuk kesalahan halangan tempat awam, membuang cecair kotor di kawasan awam dan menjalankan perniagaan tanpa lesen. KPDN juga telah mengambil tindakan ke atas alat timbang yang tamat tempoh tentusahan.

Di lokasi keempat, sebuah kedai runcit di Jalan SP 11/1, Taman Sri Pristana, Jabatan Penguatkuasa MPKS mengeluarkan notis berhenti perniagaan. Jabatan Pelesenan MPKS menarik lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen, dan SSM mengeluarkan kompaun di bawah Akta Syarikat 2016.

Secara keseluruhan, operasi ini berjaya mengesan pelbagai kesalahan dan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang melanggar undang-undang. Operasi seumpama ini penting untuk memastikan perniagaan dijalankan secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjaga kepentingan awam dan keselamatan.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : https://www.facebook.com/share/p/1Ehu4T6755/