Color
Text

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING

Pada 13 Februari 2025 (Khamis), Jabatan Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan satu operasi bersepadu yang melibatkan 35 orang anggota di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam. Operasi ini melibatkan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor)

Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan tempatan oleh premis-premis perniagaan khususnya yang dikendalikan oleh warga asing. Operasi bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang meliputi empat lokasi berbeza.

Di lokasi pertama, sebuah restoran diperiksa dan didapati melanggar beberapa peraturan. Dua kompaun dikeluarkan berkaitan lesen dan iklan, manakala satu notis berhenti perniagaan juga dikenakan. Beberapa barang seperti kerusi, meja, tong gas dan dapur gerai telah disita. Lokasi kedua juga melibatkan sebuah restoran yang didapati melakukan lebih banyak pelanggaran. Empat kompaun dikeluarkan kerana operasi tanpa lesen, iklan tidak sah dan pencerobohan kaki lima. Notis berhenti perniagaan turut dikeluarkan dan barang seperti tong gas, meja makan, kerusi dan dapur gerai disita.

Lokasi ketiga dan keempat melibatkan pusat cuci kereta. Di lokasi ketiga, empat kompaun dikeluarkan kerana halangan, ketiadaan lesen, iklan tidak sah dan isu tanjakan. Notis berhenti perniagaan dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, tong sabun, pam angin, pam air, dan mesin ‘fogging’ disita. Di lokasi keempat, dua kompaun dikeluarkan kerana ketiadaan lesen dan iklan tidak sah. Notis berhenti perniagaan juga dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, pemampat udara, tong bancuh sabun, pam angin dan pam air disita. Selain itu, SSM turut mengambil tindakan di lokasi ini iaitu Tindakan Kompaun Terus dibawah Kaedah 17A (2) APP 1956 kerana tidak mempamerkan papan tanda nama perniagaan dan nombor perniagaan.

Secara keseluruhan, operasi ini berjaya menguatkuasakan peraturan tempatan dengan mengeluarkan kompaun, notis dan menyita barangan premis yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan peniaga, khususnya warga asing terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : https://www.facebook.com/share/p/18XqQTMFUV/