OPS BERSEPADU : TINDAKAN TERHADAP PREMIS WARGA ASING DI IJOK
Satu operasi bersepadu telah dijalankan oleh Jabatan Penguat Kuasa MPKS 20 Februari 2025 di sekitar kawasan Ijok bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh premis-premis yang dikendalikan oleh warga asing. Operasi yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang ini melibatkan 39 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM Selangor), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Dalam operasi ini, sebuah kedai gunting rambut di Jalan Ijok Jaya dikenakan tindakan atas pelanggaran lesen dan iklan perniagaan. Dua kompaun telah dikeluarkan dan beberapa peralatan seperti kerusi gunting rambut serta tempat cuci rambut turut disita. SSM turut mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun di bawah Seksyen 12(2) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 kerana gagal mempamerkan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan.
Sebuah restoran di Jalan Ijok Jaya juga dikenakan tindakan dengan pengeluaran satu notis berhenti perniagaan serta penyitaan meja makan, kerusi dan kipas. Jabatan Kesihatan dam Persekitaran MPKS mengeluarkan beberapa kompaun atas pelanggaran peraturan kebersihan dan lesen perniagaan.
Selain itu, pihak KPDN mendapati beberapa premis tidak mempamerkan tanda harga dengan jelas, dan dua kes telah dikenakan tindakan dengan kompaun sebanyak RM300.00 setiap satu. Satu premis turut didapati menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh tentusahan, menyebabkan pemilik dikenakan kompaun RM200.00.
MPKS menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seperti ini akan terus dijalankan bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi undang-undang demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS