PROGRAM "TRAIN OF TRAINER" – TOT PEMENTORAN 2025
Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Kursus Training of Trainers (TOT) Program Pementoran di Port Dickson dari 26 hingga 28 Februari 2025. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep, peranan dan keperluan pementoran dalam perkhidmatan awam. Seramai 22 orang peserta telah menyertai kursus ini, yang merangkumi pelbagai sesi latihan interaktif serta ceramah oleh penceramah berpengalaman.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan kemahiran komunikasi, teknik bimbingan yang berkesan, serta kepentingan pementoran dalam membentuk budaya kerja yang positif. Selain itu, sesi latihan turut menekankan aspek kepimpinan dan tanggungjawab sebagai mentor dalam membantu pembangunan kerjaya serta peningkatan prestasi anggota perkhidmatan awam. Dengan pendekatan yang praktikal dan interaktif, peserta dapat memahami serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dengan lebih berkesan.
Sr. Salinda binti Jamil, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKS, telah bertindak sebagai penyelaras bagi program ini. Beliau menegaskan bahawa pementoran merupakan satu elemen penting dalam pembangunan sumber manusia, khususnya dalam sektor awam. Kursus ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai mentor yang berkelayakan untuk membimbing generasi baharu dalam perkhidmatan awam, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS