Color
Text

PROGRAM BICARA INTEGRITI: RAMADAN DAN INTEGRITI

Unit Integriti, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Program Bicara Integriti bertajuk Ramadan dan Integriti: Berpuasa Fizikal, Berpuasa Hati pada 5 Mac 2025 di Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor. Program ini dihadiri oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan MPKS dan disampaikan oleh penceramah jemputan, PU Rahmat Ikhsan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan peserta selaras dengan fungsi teras Unit Integriti MPKS.

Melalui program ini, peserta didedahkan dengan kepentingan bulan Ramadan sebagai pemangkin transformasi diri ke arah kehidupan yang lebih berintegriti. Penceramah turut berkongsi ilmu dan pengalaman tentang keberkatan, cabaran, serta tuntutan ibadah sepanjang Ramadan. Selain itu, program ini mengingatkan peserta agar mengamalkan nilai kejujuran dan amanah dalam melaksanakan tugas harian mereka.

Selain aspek keagamaan, program ini juga menekankan kepentingan menjaga tatakelola kerja yang baik di tempat kerja. Peserta diberikan pemahaman tentang bagaimana integriti boleh diterapkan dalam setiap aspek pekerjaan, termasuk dalam membuat keputusan dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. Ini bagi memastikan amalan kerja yang lebih telus, cekap dan berkesan dalam organisasi.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyebarluaskan mesej integriti dan tadbir urus terbaik dalam kalangan warga MPKS. Turut sama pada program ini, Yang Berusaha, Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua MPKS.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS