PROGRAM IHYA RAMADAN DAERAH KUALA SELANGOR 1446H/ 2025M
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM235,000 kepada 470 asnaf di daerah Kuala Selangor. Majlis penyerahan sumbangan ini diadakan sempena Program Ihya Ramadan di Masjid Raja Lumu, Kuala Selangor. Seramai 128 fakir, 220 golongan miskin, dan 122 saudara baharu menerima sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang.
Masjid Raja Lumu, yang terletak di bawah Bukit Malawati di Pekan Lama Kuala Selangor, dipilih sebagai lokasi majlis kerana nilai sejarahnya sebagai Masjid Diraja kesembilan di Selangor. Masjid ini dinamakan sempena Sultan Selangor pertama, Raja Lumu atau Sultan Salehuddin Shah. Program Ihya Ramadan ini merupakan siri kedua selepas Sabak Bernam pada minggu sebelumnya.
Selepas majlis penyampaian sumbangan, DYMM Sultan Selangor berbuka puasa bersama rakyat sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. Keberangkatan baginda dalam program ini mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan. Turut sama hadir pada majlis ini, YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Ketua-Ketua Jabatan/ Unit MPKS dan Ahli-Ahli Majlis MPKS.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS