OPERASI BERSEPADU KILANG KITAR SEMULA SISA ELEKTRONIK
Pada 11 Mac 2025, Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah mengadakan Operasi Bersepadu Kilang Kitar Semula Sisa Elektronik. Operasi ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada 4.30 petang. Tujuan utama operasi ini adalah untuk memastikan pematuhan undang-undang serta mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran yang dikesan. Operasi ini melibatkan pelbagai agensi iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor. Seramai 50 anggota daripada pelbagai jabatan telah terlibat dalam operasi ini.
Operasi dijalankan di Lot 920, Jalan Klang - Kuala Selangor, Kuala Selangor. Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengeluarkan beberapa tindakan penguatkuasaan, termasuk satu kompaun kepada premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, satu kompaun kerana gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih, serta satu notis untuk memberhentikan operasi perniagaan. Selain itu, dua inventori sitaan peralatan perniagaan turut dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Dalam operasi ini, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menahan seramai seramai 78 warga asing terdiri daripada 58 lelaki (Myanmar-20, Indonesia-3, Kemboja-31, China -3) dan 20 wanita (Kemboja-18, Myanmar-2). Tindakan ini diambil bagi membanteras isu pekerja asing tanpa dokumen yang sah serta melindungi hak pekerja yang dieksploitasi. Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula telah mengambil tiga jenis sampel buangan terjadual yang terdiri daripada buangan bateri, elektrik, dan elektronik. Sampel ini akan dianalisis bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar. Dalam masa yang sama, pihak Air Selangor telah melakukan pemotongan meter air terhadap premis yang melanggar peraturan, manakala TNB pula menjalankan semakan ke atas sumber tenaga elektrik yang digunakan di lokasi operasi.
Secara keseluruhannya, Operasi Bersepadu Kilang Kitar Semula Sisa Elektronik ini telah mencapai objektifnya dalam memastikan kepatuhan kepada undang-undang serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta memastikan aspek perniagaan dan alam sekitar berada dalam keadaan terkawal.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS