Color
Text

SESI FOCUS GROUP DISCUSSION (FGD) PENYEDIAAN PELAN TINDAKAN BANDAR PINTAR & RENDAH KARBON KUALA SELANGOR 2035

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan sesi Focus Group Discussion (FGD) bersama agensi kerajaan bagi merangka Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Kuala Selangor 2035. Program yang diadakan di Eco-Grandeur Hall pada 8 April 2025 ini melibatkan penyertaan Ahli-ahli Majlis, pelbagai agensi kerajaan Persekutuan, Negeri dan Daerah, serta pakar perunding dari Telekom Malaysia (TM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sesi ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan peranan setiap agensi dan mengenal pasti cabaran serta keperluan teknologi dan infrastruktur dalam menjadikan Kuala Selangor sebagai bandar pintar dan rendah karbon menjelang tahun 2035. Ia turut menekankan kepentingan kolaborasi antara pelbagai pihak dalam memastikan pelaksanaan yang berkesan.

Kuala Selangor kini telah mencapai pengiktirafan sebagai "Smart City Early Adopter" oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Oktober 2024, dan tersenarai antara 18 PBT terbaik daripada 51 yang menyertai. Ini merupakan pencapaian membanggakan hasil kerjasama erat antara MPKS dan agensi teknikal termasuk JKR, TNB, dan Pejabat Daerah. MPKS juga dalam proses memuktamadkan pelan tindakan, melaksanakan projek & program bandar pintar dan rendah karbon sebelum ke peringkat seterusnya.

Inisiatif bandar pintar ini bukan sahaja memberi impak kepada kesejahteraan penduduk melalui perkhidmatan yang lebih cekap dan lestari, tetapi juga membuka peluang pelaburan serta penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi. Ia dijangka memperkukuh pembangunan ekonomi setempat serta menjadikan Kuala Selangor lebih berdaya huni dan berdaya tahan.

MPKS menyeru semua pihak untuk terus komited dan aktif dalam memberikan pandangan serta menyumbang kepakaran sepanjang sesi FGD dan fasa pelaksanaan. MPKS optimis dengan iltizam dan kerjasama yang kukuh, Kuala Selangor mampu muncul sebagai model bandar pintar dan rendah karbon unggul menjelang tahun 2035.

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS