OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menjalankan satu Operasi Bersepadu membabitkan premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di sekitar Jalan TIAJ 2/10, Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam pada 10 April 2025 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Operasi ini disertai oleh 50 anggota dengan Kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Hasil pemeriksaan ke atas tujuh (7) premis mendapati dua (2) premis beroperasi tanpa lesen yang sah, manakala empat (4) premis telah dikenakan notis penutupan. Antara kesalahan yang direkodkan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, pengurusan kebersihan yang tidak memuaskan, serta pengendalian premis oleh warga asing tanpa kebenaran sah. Selain itu, dua kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS dan satu sitaan turut dilakukan.
Jabatan Kesihatan MPKS pula telah mengeluarkan enam (6) kompaun dan satu (1) notis atas pelbagai kesalahan berkaitan pengendalian makanan, antaranya membuang sisa ke longkang awam serta kegagalan mempamerkan rekod suntikan tifoid. Jabatan Pelesenan MPKS mencadangkan penarikan balik lesen ke atas empat premis termasuk kedai runcit dan restoran yang dikendalikan oleh warga asing serta melanggar syarat-syarat lesen asal.
Dalam masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah mengeluarkan empat (4) kompaun masing-masing bernilai RM300 atas kesalahan di bawah perundangan berkaitan kawalan harga dan anti pencatutan. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengambil tindakan terhadap dua syarikat yang gagal mempamerkan papan tanda dan nombor pendaftaran perniagaan seperti yang ditetapkan oleh Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
MPKS ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi undang-undang dan syarat lesen yang ditetapkan. MPKS juga menyeru agar pemilik premis mengambil langkah proaktif dengan memastikan urusan perniagaan dikendalikan secara sah dan teratur demi kesejahteraan masyarakat dan integriti perniagaan tempatan.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS