PERSIDANGAN STRATA 2025: KE ARAH PENGURUSAN STRATA KELAS PERTAMA
PERSIDANGAN STRATA 2025: KE ARAH PENGURUSAN STRATA KELAS PERTAMA
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Persidangan Strata 2025: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama pada 19 Jun 2025 bertempat di Hotel Parkroyal Collection, Kuala Lumpur.
Penganjuran persidangan ini yang kini memasuki tahun ketiga merupakan platform penting kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), pengurusan hartanah serta pihak pemaju bagi meningkatkan kompetensi dan kefahaman dalam menguruskan kediaman berstrata secara sistematik serta mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Dalam konteks pembangunan pesat khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar, pengurusan strata yang efisien amatlah penting. Justeru itu, persidangan ini menjadi salah satu inisiatif MPKS untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan ke arah pembentukan badan pengurusan strata yang cekap, selamat, berdaya tahan dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11.
Simposium ini turut menjadi medan terbaik untuk para peserta berkongsi pengalaman serta kaedah penyelesaian isu-isu pengurusan strata di kawasan masing-masing. Seramai 140 orang delegasi dari pelbagai agensi di seluruh negara telah mengambil bahagian, dan sebanyak empat (4) kertas kerja telah dibentangkan oleh tujuh (7) orang panel profesional yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS