Color
Text

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI SEKITAR JERAM

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI SEKITAR JERAM

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar kawasan Sungai Buloh dan Sungai Sembilang pada 2 Julai 2025 (Rabu), bermula jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang. Operasi ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta jabatan teknikal MPKS melibatkan kekuatan seramai 52 orang pegawai dan anggota.

Empat lokasi tumpuan telah disasarkan dalam operasi ini, melibatkan premis-premis yang dijalankan oleh warga asing tanpa kelulusan dan pematuhan perundangan. Antara tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS termasuk pengeluaran enam (6) kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, empat (4) notis penutupan premis, serta sitaan peralatan perniagaan bagi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Selain itu, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(1) dan 79(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 bersama tawaran kompaun ke atas struktur binaan tanpa kebenaran. Jabatan Kesihatan MPKS pula telah mengeluarkan dua (2) kompaun di bawah UUK 21(1)(d) atas kesalahan membuang sisa di kawasan premis. Pihak SSM turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat (4) kompaun ke atas premis yang gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Jabatan Imigresen Malaysia pula telah membuat pemeriksaan ke atas individu warga asing dan telah menahan seramai 14 orang warga asing bagi tujuan semakan lanjut terhadap dokumen perjalanan dan status keberadaan mereka di negara ini. Tindakan tegas ini mencerminkan komitmen semua agensi yang terlibat dalam mengekang aktiviti perniagaan haram serta memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pengusaha premis.

MPKS akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa demi memastikan persekitaran perniagaan di daerah Kuala Selangor kekal kondusif, terkawal dan berlandaskan undang-undang.

#KualaSelangor

#IndahdanBersejarah

#MPKS 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS