KEJOHANAN OLAHRAGA PENDIDIKAN KHAS GENERASI MADANI PERINGKAT DAERAH KUALA SELANGOR 2025 BERLANGSUNG MERIAH
KEJOHANAN OLAHRAGA PENDIDIKAN KHAS GENERASI MADANI PERINGKAT DAERAH KUALA SELANGOR 2025 BERLANGSUNG MERIAH
Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Generasi Madani Peringkat Daerah Kuala Selangor telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Utama, Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 1 Julai 2025. Program ini merupakan inisiatif bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi memberi ruang kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) menonjolkan bakat dalam bidang sukan.
Kejohanan ini menghimpunkan seramai 150 murid dari 21 buah Sekolah Menengah Kebangsaan seluruh daerah Kuala Selangor, dengan diiringi seramai 60 guru pengiring. Pertandingan ini melibatkan tiga kategori murid iaitu Kurang Upaya Pendengaran (BD), Masalah Pembelajaran (BP), dan Kurang Upaya Penglihatan, yang bertanding mengikut kategori umur B12, B15, dan B19. Pelaksanaan kejohanan ini bertepatan dengan matlamat memperkasa kebolehan murid istimewa dalam suasana inklusif dan kompetitif.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBrs. TPr Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Turut hadir memeriahkan acara ialah YBrs.Puan Azlina Binti Hussin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, serta Encik Puspanath a/l Thanabalan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS.
Selain mencungkil bakat, kejohanan ini turut berperanan sebagai platform pemilihan atlet MBPK untuk mewakili PPD Kuala Selangor ke peringkat negeri Selangor. Program ini secara langsung menyokong elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).
MPKS merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat – barisan urus setia, para guru, peserta, serta warga kerja PPD Kuala Selangor yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini. Semoga kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan demi manfaat murid-murid berkeperluan khas serta pembangunan sosial daerah Kuala Selangor secara menyeluruh.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS