MAJLIS PERASMIAN PROGRAM BERSAMA KOMUNITI & SEMPENA SAMBUTAN HARI KELIP-KELIP SEDUNIA 2025
Majlis Perasmian Program Bersama Komuniti dan simbolik penyerahan sampan bagi memeriahkan sambutan Hari Kelip-kelip Sedunia 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 20 September 2025, bertempat di Santuari Kelip-kelip Kg Kuantan, Kuala Selangor.
Program bertemakan “Bantu Kami Kekalkan Cahaya Berkelip” ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor, Tourism Selangor Sdn Bhd dan MyFundAction.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Azmi bin Md Yusof, Chief Global Business Solutions Officer TNB. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Yang Berusaha TPr. Hj Mohamad Yusli Bin Askandar, Setiausaha MPKS, Dr Ghafur Rahim Bin Mustakim (CEO MyFundAction), Cik Nor Azuana Hamid (Eksekutif Acara & Pelancongan Fokus, Tourism Selangor) serta En Sharul Affendi bin Zainurddin (Penghulu Mukim Pasangan).
Dalam majlis ini juga, telah berlangsung serahan 12 unit sampan daripada TNB kepada MPKS sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB untuk kegunaan Persatuan Pendayung Kelip-kelip Kampung Kuantan, dalam usaha menyokong pemeliharaan habitat kelip-kelip dan sektor pelancongan setempat.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi memeriahkan sambutan ini, antaranya Kelip-Kelip Fun Walk yang disertai oleh masyarakat setempat, permainan kanak-kanak yang menceriakan suasana, serta pertandingan mewarna dan pertandingan peragaan busana bertemakan kelip-kelip yang mendapat sambutan hangat daripada peserta. Selain itu, pertandingan mini sukaneka, permainan tradisional dan aktiviti merewang turut menyerikan lagi program dengan penglibatan komuniti secara langsung.
Di samping itu, program ini juga memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok berembang dan pembersihan sungai. Aktiviti pocket talk oleh MCMC dan KPJ, permainan arked serta saringan kesihatan turut melengkapkan pengisian program dengan pelbagai manfaat untuk masyarakat.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan program ini. Semoga usaha bersama ini dapat membantu mengekalkan keindahan cahaya kelip-kelip serta terus mempromosikan kelestarian alam sekitar di Kuala Selangor.
#BantuKamiKekalkanCahayaBerkelip #HariKelipKelipSedunia2025 #MPKS #KualaSelangor #VisitSelangorYear2025 #SelangorKanAda
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS