OPERASI PEMERIKSAAN BAZAR RAMADAN 2026 DI HADAPAN IADA KUALA SELANGOR
23 Februari 2026 – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan Bazar Ramadan di lokasi Hadapan IADA Kuala Selangor bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat pelesenan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Operasi ini melibatkan pemeriksaan ke atas 31 petak bazar yang menempatkan seramai 52 pengendali makanan. Hasil semakan mendapati kesemua 52 pengendali telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan, manakala 51 orang telah menerima suntikan TY2 (Tifoid). Pemeriksaan turut merangkumi aspek kebersihan diri pengendali, penyediaan dan penyimpanan makanan, pengendalian sisa pepejal serta pematuhan syarat permit perniagaan.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan yang dikenal pasti. Satu kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, MPKS atas kesalahan tiada suntikan tifoid, manakala satu kompaun lagi telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan, MPKS atas kesalahan tiada permit perniagaan. Tiada kompaun dikeluarkan oleh pihak PKDKS dalam operasi tersebut.
MPKS komited untuk terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di semua lokasi Bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kerjasama strategik bersama PKDKS ini amat penting dalam memastikan keselamatan makanan terjamin dan kesihatan pengguna sentiasa dilindungi sepanjang bulan Ramadan.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS