Color
Text

OPERASI PEMERIKSAAN BAZAR RAMADAN 2026 DI MEDAN SELERA JALAN BOMBA DAN KP/1 TANJUNG KARANG

24 Februari 2026 – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan Bazar Ramadan di dua lokasi iaitu Bazar Ramadan Medan Selera Jalan Bomba dan Bazar Ramadan KP/1 Tanjung Karang bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat pelesenan dipatuhi sepenuhnya oleh para peniaga.

Di Bazar Ramadan Medan Selera Jalan Bomba, pemeriksaan melibatkan 9 petak dengan 10 pengendali makanan. Hasil semakan mendapati 9 pengendali telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan 9 orang telah menerima suntikan TY2 (Tifoid). Sepanjang operasi, satu (1) kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, MPKS atas kesalahan tiada suntikan tifoid, manakala tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan, MPKS dan PKDKS.

Sementara itu, di Bazar Ramadan KP/1 Tanjung Karang, sebanyak 97 petak telah diperiksa melibatkan 184 pengendali makanan. Daripada jumlah tersebut, 170 pengendali telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan 181 orang telah menerima suntikan TY2. Dalam operasi ini, satu (1) kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan, MPKS atas kesalahan tiada permit perniagaan, manakala tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, MPKS serta PKDKS.

MPKS akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di semua lokasi Bazar Ramadan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta tahap kebersihan makanan sentiasa berada pada tahap terbaik demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna sepanjang bulan Ramadan.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS