BICARA INTEGRITI: TARBIAH RAMADAN “RAMADAN MEMBENTUK JIWA BERINTEGRITI”
Bicara Integriti: Tarbiah Ramadan “Ramadan Membentuk Jiwa Berintegriti” telah diadakan pada 26 Februari 2026 (Khamis) bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi bertempat di Dewan Seri Siantan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS). Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk memantapkan pembudayaan integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan MPKS dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai medan tarbiah dan pengukuhan nilai diri.
Ceramah telah disampaikan oleh PU Amin yang berkongsi pengisian berkaitan kepentingan menghayati Ramadan sebagai bulan pemangkin transformasi diri ke arah pembentukan sahsiah yang lebih berintegriti, amanah dan berdisiplin. Penyampaian yang santai namun penuh penghayatan itu memberi kesedaran kepada para hadirin tentang peranan Ramadan dalam membentuk jiwa yang lebih bersih dan bertanggungjawab, bukan sahaja dalam aspek ibadah, malah dalam pelaksanaan tugas seharian.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta YBrs. TPr. Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS bersama barisan pengarah jabatan dan warga kerja MPKS yang hadir memberikan sokongan terhadap penganjuran program ini.
Antara pengisian utama program adalah mengajak warga kerja menghayati bulan Ramadan sebagai salah satu bulan pemangkin untuk transformasi diri agar menjadi individu yang lebih berintegriti dalam setiap aspek kehidupan dan tugasan. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan serta perkongsian ilmu dan pengalaman dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan serta cabaran melaksanakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Bicara Integriti ini diharapkan dapat menyemai dan memperkukuh nilai integriti, akauntabiliti dan keikhlasan dalam kalangan warga kerja MPKS, seterusnya menyokong usaha organisasi dalam membentuk perkhidmatan awam yang beretika, telus dan beramanah.
#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS