LAPORAN OPERASI PEMERIKSAAN BAZAR RAMADAN 2026 MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan Bazar Ramadan 2026 yang memfokuskan pemantauan tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat perniagaan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan di sekitar daerah Kuala Selangor.
Operasi yang dijalankan pada 25 Februari 2026 di Bazar Ramadan Naluri Sukma melibatkan pemeriksaan ke atas 69 petak dengan jumlah 111 orang pengendali makanan. Hasil pemantauan mendapati seramai 110 orang telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan manakala 111 orang telah menerima suntikan TY2. Sepanjang operasi ini, tiada kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Penguatkuasaan MPKS mahupun PKDKS, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan yang amat memberangsangkan dalam kalangan peniaga.
Seterusnya, operasi diteruskan pada 26 Februari 2026 di Bazar Ramadan Astana Alam Fasa 3 yang melibatkan pemeriksaan terhadap 56 petak dengan 98 orang pengendali makanan. Seramai 96 orang telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan dan 96 orang telah menerima suntikan TY2. Dalam operasi ini, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS telah mengeluarkan tiga kompaun melibatkan kesalahan tiada suntikan tifoid, kuku panjang serta tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE). Jabatan Penguatkuasaan MPKS turut mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan tiada permit perniagaan. Walau bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan oleh PKDKS.
Secara keseluruhannya, operasi bersepadu yang melibatkan MPKS dan PKDKS ini membuktikan komitmen bersama dalam memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan peraturan sentiasa berada pada tahap yang memuaskan sepanjang bulan Ramadan. MPKS akan terus mempergiatkan pemantauan secara berkala bagi memastikan peniaga bazar Ramadan mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi kesejahteraan dan keselamatan pengguna.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS