OPERASI BERSEPADU KILANG TANPA KEBENARAN DAERAH KUALA SELANGOR
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran di sekitar Jeram, Kuala Selangor pada 5 Mac 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Operasi ini dilaksanakan secara kerjasama strategik bersama beberapa agensi dan jabatan teknikal bagi membanteras aktiviti perindustrian tanpa kebenaran serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 50 orang anggota daripada pelbagai Jabatan dan Unit MPKS serta dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor serta Tenaga Nasional Berhad Kuala Selangor.
Dalam operasi tersebut, pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi premis kilang yang dipercayai beroperasi tanpa kebenaran.
Bagi lokasi pertama di Jalan Haji Othman, Off Jalan Beaunston Batu 21, Jeram, sebuah premis yang menjalankan aktiviti melerai kabel serta bengkel memproses perabot dan besi telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh MPKS. Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Selain itu, satu notis memberhentikan perniagaan turut dikeluarkan dan premis tersebut telah ditutup.
Dalam tindakan yang sama, pihak MPKS turut melaksanakan sitaan terhadap beberapa peralatan perniagaan yang digunakan di premis berkenaan, antaranya mesin pengasah, dua mesin pemotong kabel, sebuah penimbang berat digital, pemotong besi serta sebuah forklift.
Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengeluarkan satu kompaun serta satu notis atas kesalahan berkaitan kekotoran premis di bawah undang-undang kecil yang sama. Sementara itu, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS telah mengeluarkan satu kompaun dan satu notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan struktur tanpa kebenaran. Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS pula membantu dari segi penyediaan lori logistik serta tenaga kerja bagi menguruskan pengangkutan barangan sitaan.
Bagi lokasi kedua di Jalan Simpang Tiga Jeram, pemeriksaan mendapati premis kilang memproses barangan kitar semula dan elektronik tersebut telah dikosongkan serta tidak lagi beroperasi. Walau bagaimanapun, tindakan penutupan premis tetap dilaksanakan oleh pihak MPKS. Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan satu kompaun dan satu notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Di lokasi ketiga iaitu di Jalan Klang Sungai Janggut, Batu 14 1/2, pemeriksaan mendapati kilang memproses barangan kitar semula plastik tersebut juga telah dikosongkan dan tidak beroperasi. Pihak MPKS telah mengambil tindakan menutup premis berkenaan.
Dalam operasi yang sama, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Pengurusan Air Selangor telah melaksanakan semakan pemilikan meter air serta tindakan rampasan meter air di premis yang terlibat. Tenaga Nasional Berhad Kuala Selangor turut menjalankan semakan pemilikan meter elektrik dan akan mengambil tindakan susulan termasuk pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik setelah menerima permohonan daripada pihak MPKS.
Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemantauan terhadap empat premis. Daripada jumlah tersebut, dua premis didapati beroperasi manakala dua premis lagi didapati telah ditutup. Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak satu sitaan peralatan, empat notis serta lima kompaun telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat.
MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan dan perindustrian di daerah Kuala Selangor mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

