SENTUHAN KASIH RAMADAN KOMUNITI STRATA 2026
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadan Komuniti Strata 2026 yang berlangsung di Dewan MPKS Ixora Hill Park, Puncak Alam pada 15 Mac 2026 (Ahad).
Program ini diadakan bagi menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak MPKS dan komuniti strata di daerah Kuala Selangor. Majlis turut dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua / Pesuruhjaya Bangunan MPKS yang telah menyampaikan ucapan perasmian program.
Turut berlangsung sesi ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman yang menyentuh penghayatan Ramadan serta kepentingan amalan kebajikan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam majlis ini, MPKS turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas kepada seramai 30 orang penerima dalam kalangan asnaf komuniti berstrata.
Program ini turut mendapat sokongan rakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Jalen, Jasmine dan Fuji Bakery yang bersama-sama menyumbang dalam menjayakan program kebajikan ini.
Turut hadir YBrs TPr Haji Mohamad Yusli bin Askandar, Setiausaha MPKS serta Sr Muhammad Zul Fiqah bin Omar, Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan MPKS.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta diakhiri dengan jamuan berbuka puasa bersama para tetamu dan komuniti setempat dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
#KualaSelangor #IndahdanBersejarah #MPKS
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

