OPERASI BERSEPADU KILANG KITAR SEMULA BARANGAN ELEKTRONIK TANPA KEBENARAN DAERAH KUALA SELANGOR
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Kitar Semula Barangan Elektronik Tanpa Kebenaran di Jalan Harmoni 1, Simpang 3 Ijok, Bestari Jaya pada 2 April 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti perindustrian, khususnya melibatkan pengurusan e-waste, mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat.
Seramai 50 anggota telah terlibat dalam operasi ini yang melibatkan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor serta Tenaga Nasional Berhad Kuala Selangor.
Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti kitar semula barangan elektronik tanpa kebenaran yang sah. Sehubungan itu, Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Selain itu, satu Notis Memberhentikan Perniagaan turut dikeluarkan dan tindakan penutupan premis telah dilaksanakan.
Pihak MPKS turut menjalankan sitaan terhadap pelbagai peralatan yang digunakan dalam operasi kilang tersebut termasuk penimbang, pemampat udara (air compressor), forklift, kipas ekzos (exhaust fan), troli, mesin pemotong, jack mudah alih, peralatan kimpalan (welding), barangan pelbagai serta sejumlah besar kipas industri.
Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS pula telah mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan tidak menjaga kebersihan premis serta satu notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan di bawah Seksyen 82(1), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Jabatan Kawalan Bangunan MPKS tidak mengambil sebarang tindakan terhadap struktur bangunan kerana pemilik mempunyai Permit Pelan Bangunan yang sah. Namun demikian, siasatan dan semakan secara terperinci akan dilaksanakan dan memastikan segala arahan pematuhan dalam syarat kelulusan dipatuhi. Sekiranya gagal tindakan penguatkuasaan akan diambil dibawah Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan. Jabatan Pelesenan MPKS telah menjalankan semakan terhadap status pemilikan lesen perniagaan premis berkenaan.
Dalam operasi yang sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Pengurusan Air Selangor telah melaksanakan semakan pemilikan meter air serta tindakan rampasan meter air. Tenaga Nasional Berhad Kuala Selangor turut menjalankan semakan pemilikan meter elektrik dan akan mengambil tindakan susulan termasuk pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik setelah menerima permohonan daripada pihak MPKS. Jabatan Alam Sekitar turut menjalankan persampelan terhadap bahan e-waste dengan mengambil sebanyak lima sampel untuk analisis lanjut, di samping melaksanakan tindakan penahanan operasi serta pemeriksaan ke atas enam bahagian stok e-waste.
Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemantauan terhadap satu premis yang didapati beroperasi, dengan satu sitaan, dua notis serta dua kompaun telah dikeluarkan. MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS

