Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU PASAR MALAM TAMAN INDUSTRI ALAM JAYA

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam pada 24 Julai 2026 dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen perniagaan, undang-undang kecil serta peraturan yang berkuat kuasa.

Operasi yang berlangsung dari jam 4.00 petang hingga 1.00 pagi itu melibatkan seramai 96 anggota daripada Jabatan Penguatkuasa MPKS, Jabatan Kesihatan & Persekitaran MPKS, Jabatan Pelesenan MPKS, Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS, Unit Korporat MPKS, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor.

Operasi ini dilaksanakan hasil pemantauan berterusan MPKS yang mendapati terdapat peniaga menggajikan pekerja warga asing serta warga asing menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam. Tindakan bersepadu ini diambil bagi membendung pelanggaran syarat lesen perniagaan, memastikan pematuhan undang-undang kecil dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat serta adil kepada semua peniaga yang mematuhi peraturan.

Sepanjang operasi dijalankan, Jabatan Penguatkuasa MPKS telah memeriksa sebanyak 34 perniagaan dan mengeluarkan 34 kompaun terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007. Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja warga asing.

MPKS turut mengeluarkan 26 notis arahan memberhentikan perniagaan dan satu notis amaran atas kesalahan melanggar syarat lesen, di samping melaksanakan penutupan terhadap 27 premis yang didapati melakukan pelanggaran. Sebanyak lima tindakan sitaan turut dilaksanakan melibatkan pelbagai peralatan perniagaan seperti khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan, bakul sayur serta peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan.

Jabatan Kesihatan & Persekitaran MPKS pula telah mengeluarkan 11 kompaun terhadap peniaga yang gagal menjaga kebersihan kawasan perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007. Jabatan Pelesenan MPKS turut menjalankan semakan lesen ke atas semua peniaga yang diperiksa dan mengambil tindakan menarik balik satu lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan pekerja warga asing. Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKS pula membantu dari aspek logistik serta pengurusan barang-barang sitaan sepanjang operasi berlangsung.

Dalam operasi yang sama, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor telah memeriksa seramai 83 orang warga asing dan menahan 12 individu untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen. Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor turut menjalankan pemeriksaan ke atas pengendali makanan dan mengeluarkan lapan Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, melibatkan tujuh kes di bawah Peraturan 32(1)(b) dan satu kes di bawah Peraturan 36(1)(a).

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor telah menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berasal dari Kemboja dan bukan warganegara Malaysia. Ketiga-tiga individu tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Secara keseluruhan, operasi ini merekodkan 34 pemeriksaan, 27 penutupan perniagaan, satu penarikan lesen perniagaan, lima tindakan sitaan, 45 kompaun dan 34 notis pelbagai kesalahan.

MPKS akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat lesen, undang-undang kecil serta peraturan yang ditetapkan. MPKS turut menyeru semua peniaga agar menjalankan perniagaan secara sah, menjaga kebersihan kawasan perniagaan serta tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran atau membenarkan aktiviti yang menyalahi syarat lesen demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, selamat dan kondusif untuk kesejahteraan masyarakat.

#MPKS

#KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS