Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI ASTANA ALAM, BANDAR PUNCAK ALAM

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing pada 15 Oktober 2026 (Khamis), bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di sekitar Pusat Niaga Astana Alam, Bandar Puncak Alam. Operasi ini melibatkan kerjasama Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jabatan Pelesenan MPKS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 40 anggota.

Operasi ini dilaksanakan susulan aduan awam dan hasil pemantauan di lapangan yang mendapati terdapat premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan MPKS yang sah serta tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan. Sebanyak tujuh premis telah diperiksa melibatkan kedai runcit, kedai produk kesihatan dan pusat cuci kenderaan. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis melakukan kesalahan berkaitan pelesenan, kebersihan premis, halangan di tempat awam dan pematuhan peraturan perniagaan.

Antara kesalahan yang dikenakan kompaun ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah UUK 7 serta melanggar syarat lesen kerana tidak menyediakan pekerja warga tempatan di bawah UUK 4(4)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan membuang sisa ke dalam longkang di bawah UUK 21(1)(a), tidak menjaga kebersihan premis di bawah UUK 17 undang-undang kecil yang sama, serta meletakkan barang perniagaan di kaki lima atau tempat awam tanpa kebenaran di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Selain itu, tindakan penguatkuasaan turut melibatkan pengeluaran notis kesalahan dan tawaran kompaun bagi pengubahsuaian dalaman premis di bawah Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). SSM Negeri Selangor turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan gagal mempamerkan papan tanda yang mengandungi nama dan nombor pendaftaran perniagaan serta tidak mencatatkan maklumat pendaftaran perniagaan pada dokumen perniagaan yang berkaitan. KPDN Kuala Selangor juga mengambil tindakan terhadap penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan.

Dalam operasi yang sama, JKDM Selangor telah melaksanakan rampasan rokok yang disyaki tidak bercukai serta membawa seorang orang yang disyaki (OYDS) ke pejabat untuk siasatan lanjut. MPKS turut melaksanakan sitaan peralatan perniagaan di dua pusat cuci kenderaan yang beroperasi tanpa lesen, melibatkan pam angin, pam air, mesin vakum, tangki buih, mesin kompresor, mesin sabun, mesin fogging dan mesin detailing.

Secara keseluruhannya, operasi ini merekodkan 18 kompaun, empat notis serta empat tindakan sitaan dan rampasan. Sebanyak tiga premis turut dikenakan tindakan penutupan susulan kesalahan yang dikenal pasti. Tindakan penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen MPKS dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan syarat pelesenan oleh semua pengusaha premis perniagaan.

MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa. Kerjasama orang awam dalam menyalurkan aduan amat dihargai bagi membantu pihak majlis meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta memelihara persekitaran perniagaan yang bersih, selamat dan kondusif di daerah Kuala Selangor.

#MPKS #KualaSelangor #IndahdanBersejarah 

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS