Color
Text
QR Code MPKS Home Page
Semak imbas portal kami menggunakan telefon bimbit anda
QR Code MPKS Survey Page
Bantu kami menambah baik dengan berkongsi pendapat anda

OPERASI BERSEPADU KILANG BARANGAN KITAR SEMULA ELEKTRONIK TANPA KEBENARAN DI JERAM

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Jabatan Penguatkuasa telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Barangan Kitar Semula (Elektronik) Tanpa Kebenaran pada 5 November 2026, bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Jalan Makmur, Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. Operasi ini melibatkan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Air Selangor dan TNB Kuala Selangor dengan kekuatan keseluruhan seramai 38 anggota.

Operasi dilaksanakan susulan aduan awam dan hasil pemantauan di lapangan yang mendapati sebuah premis menjalankan aktiviti pemprosesan barangan kitar semula elektronik tanpa kebenaran pihak Majlis. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan, antaranya menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengadakan pejabat urusan tanpa kebenaran serta menyalahgunakan premis sebagai rumah tumpangan tanpa kelulusan.

Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil ialah pengeluaran kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengadakan pejabat urusan tanpa kebenaran, menyalahgunakan premis serta gagal menjaga kebersihan. Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan notis dan tawaran kompaun atas kesalahan membina struktur bangunan tanpa kelulusan bertulis pihak Majlis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Tindakan sitaan turut dilaksanakan melibatkan dua buah forklift, tujuh buah kipas, enam penyedut udara, sebuah tong gas pemotong besi, dua unit compressor, satu set pemotong, dua mesin kimpalan dan lima tong gas. Selain itu, JAS telah mengeluarkan satu Arahan Lapangan serta menjalankan persampelan terhadap tiga sampel untuk siasatan lanjut. Pihak Air Selangor dan TNB turut melaksanakan pemeriksaan meter serta tindakan pemotongan bekalan air dan elektrik di premis berkenaan.

Secara keseluruhannya, operasi ini merekodkan enam kompaun, empat notis, satu tindakan sitaan dan penutupan sebuah premis. MPKS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa kebenaran serta memastikan pematuhan undang-undang, keselamatan dan kelestarian alam sekitar di daerah Kuala Selangor.

Pautan Media Sosial Majlis Perbandaran Kuala Selangor : Facebook MPKS